suria

Derma Kepada Mangsa Haiyan Boleh Disalur Melalui SMS

BANGKOK: Beberapa syarikat telekomunikasi utama sedang berganding bahu untuk menyediakan satu cara mudah bagi membolehkan rakyat Malaysia membantu mangsa taufan Haiyan di Filipina.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata perkhidmatan berkenaan, yang akan membolehkan sumbangan dibuat melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), akan dilancarkan sebaik sahaja satu usaha sama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dimuktamadkan.

"Ramai daripada kita ingin membantu, tapi tidak tahu caranya dan kini terdapat satu cara mudah untuk berbuat demikian.

"Saya menggesa rakyat Malaysia supaya menggunakan perkhidmatan ini untuk menghulurkan derma dan menghantar bantuan kepada rakyat Filipina yang terjejas oleh tragedi dahsyat ini," katanya dalam kenyataan kepada Bernama Ahad.

Ahmad Shabery berada di Bangkok untuk menghadiri Mesyuarat Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU TELECOM WORLD) dari 17 hingga 20 November.

Awal minggu ini, Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Pos Malaysia melancarkan Setem Bantuan Kemanusiaan Taufan Haiyan yang dijual pada harga RM10 sekeping, dengan RM6 daripadanya akan disalurkan untuk membantu mangsa bencana alam itu.

Ahmad Shabery berkata beliau telah menyampaikan ucapan takziah dan memaklumkan tentang penubuhan kaedah pengumpulan dana itu kepada Louis Napoleon Casambre, Penolong Setiausaha Jabatan Sains dan Teknologi Filipina dalam pertemuan mereka pada Mesyuarat Menteri-menteri Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat Asean (TELMIN) ke-13 di Singapura.

Kata Shabery, Casambre memberitahu tahu beliau mereka terharu dan berbesar hati dengan usaha kerajaan dan rakyat Malaysia itu kerana ia membuktikan hubungan rapat yang terus terjalin antara kedua-dua negara.

"Ia juga mempamerkan bahawa ICT boleh dimanfatkan untuk menyatukan manusia ke arah melaksanakan usaha mulia dalam bidang kemanusiaan," katanya.

Shabery berkata sekiranya rakyat Malaysia boleh menggunakan SMS untuk mengundi peserta pilihan mereka dalam program realiti, "saya yakin mereka juga boleh menghantar SMS untuk memberi sumbangan untuk tujuan ini."

Haiyan melanda Filipina minggu lepas dan menjejaskan kehidupan kira-kira sembilan juta orang, termasuk mengakibatkan 1.5 juta hilang tempat kediaman dalam kejadian taufan paling dahsyat di negara itu sejak beberapa dekad lepas.

Jumlah kematian rasmi akibat bencana alam ini meningkat kepada lebih 3,600 pada Jumaat. - BERNAMA

Artikel Lain