suria

Polis Tahan Empat Lelaki Tempatan, Dua Wanita Vietnam Di Sungai Abong

MUAR: Polis menahan empat lelaki tempatan dan dua wanita warga Vietnam serta merampas 28 butir peluru, wang tunai RM5,000 dan sejumlah dadah dalam tiga serbuan Ops Cantas Khas di sekitar Sungai Abong di sini pada 11 November dan Khamis lepas.

Dalam serbuan pertama pada pukul 12 tengah hari 11 November lepas, polis menahan seorang lelaki tempatan 41 tahun dan dua wanita Vietnam berumur 26 dan 27 tahun di sebuah rumah di Sungai Abong di sini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman berkata hasil pemeriksaan polis menemui peluru jenis 38 Super dan empat gram syabu yang boleh digunakan 21 orang penagih.

"Kita masih meneruskan siasatan ke atas lelaki terbabit untuk mengesan senjata api yang masih belum ditemui," katanya kepada pemberita di sini Sabtu.

Katanya, lelaki itu mempunyai lima rekod kesalahan lampau sejak 1989 hingga 2005 membabitkan kes samun, jenayah pecah rumah dan dadah, manakala dua rakyat Vietnam itu baru sebulan berada di Malaysia dan kesemua mereka positif dadah.

Dalam serbuan di sebuah rumah di kawasan yang sama pada 2.20 petang Khamis lepas, polis memberkas dua lelaki berumur 34 dan 41 tahun dan merampas dadah syabu seberat 6 gram, 500 gram heroin, 48 butir pil ecstacy, 48 paket serbuk ecstacy, 120 gram eramin, diagram ketamin, kesemunya bernilai RM24,000 dan boleh menampung 4,000 orang penagih.

"Turut dirampas ialah wang tunai RM5,000 yang disimpan dalam sebuah peti besi di rumah yang didiami suspek. Mereka ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya yang mengesahkan kedua-duanya positif dadah dan dipercayai telah lama terlibat mengedar dadah.

Dalam serbuan ketiga di sebuah hotel bajet di Sungai Abong pada 4 pagi hari yang sama, polis menahan seorang lelaki berumur 25 tahun dari Mersing dan merampas peralatan pecah rumah dan kereta, senjata tajam serta sejumlah kecil dadah.

Polis percaya lelaki terbabit yang baru sehari berada di Muar bertanggungjawab dalam kes mendatangkan kecederaan ke atas seorang individu di bandar itu kelmarin.

Katanya, lelaki itu yang dipercayai melakukan pecah rumah dan menggunakan hotel-hotel bajet untuk berlindung daripada dikesan polis. - BERNAMA

Artikel Lain