suria

Pembonceng Motosikal Maut Selepas Beg Tangan Diragut

SEREMBAN: Seorang wanita maut selepas motosikalnya terlibat dalam kemalangan dipercayai akibat ditendang peragut di Jalan Haji Mohd Said di sini petang Jumaat.

Jurucakap polis berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 3.55 petang itu ketika mangsa, Jamariah Ahir, 65, pekerja bahagian pembersihan di sebuah bank sedang membonceng motosikal bersama anak perempuannya Norain Mohd Yusof, 23.

Beliau berkata siasatan awal mendapati, mangsa yang datang dari arah Seremban dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Sikamat dan setibanya di tempat kejadian, dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal yang datang dari arah belakang mangsa cuba meragut beg tangan mangsa.

"Berlaku tarik-menarik berikutan mangsa enggan mengalah dan berang dengan kedegilan mangsa, salah seorang peragut dipercayai telah menendang motosikal mangsa dan anaknya.

"Akibat tendangan itu menyebabkan mangsa dan anaknya terbabas dan tercampak dari motosikal dinaiki mereka. Kedua-duanya peragut kemudianya melarikan diri tanpa sebarang hasil," katanya.

Jurucakap itu berkata mangsa yang cedera parah di tangan, pinggang dan lutut meninggal dunia di tempat kejadian, manakala anak perempuannya hanya mengalami luka ringan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar di sini untuk bedah siasat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, DSP Baharudin Mustapha ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya pihak polis juga sedang cuba mengesan kedua-dua lelaki berkenaan untuk membantu siasatan.

Artikel Lain