suria

Kes Penculikan di Semporna: Tiada Kaitan Dengan Pencerobohan - KP Esscom

LAHAD DATU: Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Mohammad Mentek menegaskan kejadian culik dan bunuh di Pulau Pom Pom, Semporna awal pagi Jumaat tiada kaitan dengan insiden pencerobohan dahulu.

Sebaliknya kata beliau kejadian merupakan kes terpencil membabitkan penjenayah.

"Oleh itu, saya menasihatkan orang ramai supaya tidak panik ekoran kejadian ini kerana keadaan di sini (pantai timur) terkawal. Kita tunggu siasatan pihak polis dan jangan buat sebarang spekulasi," katanya dalam sidang media di ibu pejabat ESSCOM, di Pangkalan Polis Marin, dekat sini. Mengulas mengenai kes itu, Mohammad berkata kejadian berlaku pukul 1 pagi membabitkan dua pelancong Taiwan.

Mangsa lelaki berusia 57 tahun mati ditembak di dalam sebuah chalet manakala mangsa wanita berumur 56 tahun dipercayai dilarikan oleh kumpulan yang tidak dikenali, katanya.

"Setakat ini, kita tidak ada maklumat siapa yang bertanggungjawab dan pihak polis sedang menyiasat motif kejadian itu," katanya.

Menurut Mohammad susulan kejadian itu, pihaknya mempertingkat kawalan keselamatan terutama di pulau-pulau yang menjadi tumpuan pelancong.

Katanya beliau dan pegawai ESSCOm akan melawat tempat kejadian esok.

Beliau berkata pihak ESSCOM juga bercadang mengadakan perjumpaan dengan pengusaha pusat peranginan dan pelancongan untuk berbincang mengenai aspek keselamatan di pusat peranginan masing-masing.

"Kita akan buat penilaian tahap kesiapsiagaan dari segi keselamatan di pulau-pulau peranginan dalam usaha mempertingkatkan kawalan keselamatan," katanya.

Dalam masa yang sama Mohammad berkata keadaan kawasan pesisir pantai yang panjang dan luas khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) menyukarkan pasukan keselamatan untuk mengawal setiap inci sempadan laut negara.

Sementara itu di KOTA KINABALU, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata Sabah masih selamat untuk dilawati kerana kejadian berlaku di kawasan terpencil. "Kita akan memastikan keselamatan pengunjung dan pelancong yang melawat Sabah terjamin dan pihak berkuasa akan mengambil tindakan sewajarnya," katanya di sini.

Musa berkata beliau juga sudah diberi taklimat oleh ESSCOM berhubung kejadian itu.

Kita serah kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan, katanya yang turut meminta orang ramai agar tidak mendengar khabar angin berhubung kejadian itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain