suria

Jurujual Kereta Miliki 20 Kad Pengenalan Orang Lain Ditahan

KUALA TERENGGANU: Seorang jurujual kereta yang memiliki 20 keping kad pengenalan orang lain dan komponen motosikal curi ditahan 7 November lalu.

Dia ditahan kira-kira 4 pagi di Flat Hiliran.

"Hasil siasatan kita dapati suspek yang berusia 23 tahun ini memperoleh kesemua kad pengenalan itu daripada kegiatan curi yang dilakukannya di kawasan rekreasi dan masjid," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K.Manoharan.

Menurutnya, lima daripada kad pengenalan itu sebelum ini telah dilapor hilang.

"Empat daripadanya dilaporkan hilang ketika mangsa sedang berjoging di Bukit Besar manakala satu lagi dilaporkan hilang di kawasan perkarangan masjid di sekitar sini," katanya.

Manoharan berkata pihaknya percaya dalam kelima-lima kes ini, mangsa menyimpan dompet yang mengandungi kad pengenalan mereka di bawah tempat duduk motosikal sebelum mereka pergi ke tempat lain.

Beliau berkata suspek yang dipercayai memerhatikan kejadian itu dari jauh telah mengambil kesempatan dengan mencuri dompet termasuk kad pengenalan mangsa.

Suspek yang berasal dari Kuala Terengganu ini juga positif dadah jenis Methapitamine. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain