suria

Johnny Mositun Dilantik Setiausaha Agung PBS

Johnny Mositun.
Johnny Mositun.
Johnny Mositun.

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Johnny Mositun dilantik sebagai Setiausaha agung parti yang baharu menggantikan Datuk Henrynus Amin.

Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata bekas anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Herbert Timbun Lagadan dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung yang baharu.

Datuk Linda Tsen dilantik sebagai Bendahari Agung, Datuk Joachim Gunsalam (Penolong Bendahari Agung), Datuk Jahid Jahim (Ketua Penerangan) dan Datuk Benard Maraat (Penolong Ketua Penerangan), katanya dalam sidang akhbar sempena penyampaian watikah pelantikan jawatan itu di ibu pejabat parti di sini Jumaat.

Sehubungan itu, Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah yakin barisan kepimpinan baharu itu mampu membawa parti ke arah pengukuhan dan pertadbiran yang lebih relevan seiring perkembangan arus semasa.

"Saya percaya muka-muka baharu yang dilantik mempunyai semangat baharu yang berkobar-kobar mahu melakukan yang terbaik demi kebaikan parti dan keyakinan serta kesediaan tinggi untuk menyumbang kepada parti," katanya.

Sementara itu, Johnny yang berbesar hati dengan tanggungjawab baharu itu bertekad untuk menjalankan tugas itu berdasarkan pengalaman sejak menjadi anggota parti termasuk exco dan ketua penerangan.

"Dengan kepercayaan ini saya berpendapat ini adalah jawatan penting dan saya akan menggalas tanggungjawab yang diberikan itu dengan bijaksana," katanya sambil berikrar akan berusaha menambah keanggotaan parti dan memenangi hati rakyat terutama generasi muda.

Jahid yang merupakan bekas Ketua Pemuda parti berkata beliau akan berusaha memperbaiki imej parti ke arah lebih positif selaras perjuangan parti.

"Saya akan menggabungkan elemen-elemen yang baik dengan media elektronik dan cetak khususnya berkait rapat dengan media sosial agar kita dapat menangkis gerakan siber yang dibawa pembangkang," katanya.

Pada pemilihan Majlis Tertinggi (MT) lepas, Pairin menang tanpa bertanding jawatan presiden manakala Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Datuk Dr Yee Moh Chai masing-masing mengekalkan jawatan timbalan presiden bagi kuota bukan Islam Bumiputera dan Cina. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain