suria

Dakwaan Mengintip Tidak Jejas Hubungan AS-Malaysia - Jabatan Negara AS

KUALA LUMPUR: Dakwaan berkaitan kegiatan pengintipan oleh Amerika Syarikat (AS) tidak akan menjejaskan hubungan Washington-Kuala Lumpur, kata Jane Chongchit Houston, Penyelaras Negara bagi Maritim Asia Tenggara, Pejabat Diplomasi Awam, Jabatan Negara AS.

Beliau berkata AS terbuka kepada sebarang dialog sekiranya terdapat sebarang pertikaian dan hubungan kukuh antara rakyat Malaysia dan Amerika akan dapat membantu menangani sebarang isu melibatkan kedua-dua negara.

"Lebih mudah menyelesaikan masalah sekiranya terdapat interaksi dan sentuhan sesama insan antara kedua-dua negara. "Hubungan rakyat dengan rakyat antara Malaysia dan AS amat kukuh, dengan setiap tahun lebih 100 orang terlibat dalam program-program pertukaran di pelbagai peringkat, termasuk pelajar dan profesional," katanya kepada Bernama pada majlis makan malam Alumni Program Pertukaran Malaysia-Amerika anjuran Kedutaan AS di Kuala Lumpur, di sini malam Khamis.

Houston, yang bertugas di Washington DC, dalam rangka lawatan dua hari ke sini selepas melawat Manila, Jakarta dan Singapura. Beliau melawat Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) untuk membincangkan peluang bagi pelajar menjalani latihan di AS dan Muzium Kesenian Islam. Houston berkata sejak AS dan Malaysia menjalin hubungan diplomatik pada 1957, lebih 6,000 rakyat Malaysia telah dihantar ke AS untuk mengikuti pelbagai program pertukaran termasuk program International Visitor Leadership Programme, latihan praktikal dan pertukaran pelajar.

"Program pertukaran ini menjadikan anggota alumni lebih faham mengenai AS dan akan membawa impak positif dalam hubungan dua hala apabila mereka menjadi pemimpin di masa depan. Anggota alumni merupakan asas dalam pengukuhan hubungan US-Malaysia di masa depan," katanya.

Isu kegiatan pengintipan oleh AS timbul selepas akhbar melaporkan pemberi maklumat perisikan Edward Joseph Snowden mendedahkan AS memasang 90 alat pengawasan elektronik di seluruh dunia, termasuk di Kedutaan AS di sini.

Menurut laporan sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia pada prinsipnya menentang sebarang kegiatan pengintipan terhadap mana-mana kerajaan kerana ia melibatkan soal kedaulatan negara.

Malaysia juga telah menghantar nota bantahan kepada pejabat Kedutaan AS dan Suruhanjaya Tinggi Australia di sini berhubung dakwaan pengintipan dilakukan di negara ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain