suria

Permohonan Anwar Padam Satu Perenggan Dalam Penghakiman Ditangguh Kepada 2 Disember Ini

PUTRAJAYA: Kes permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memadamkan satu perenggan dalam penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes liwat pertama yang dihadapinya yang menyatakan beliau mempunyai kecenderungan homoseksual, ditangguhkan kepada 2 Disember ini.

Sebelum prosiding bermula pada Rabu, peguam Anwar, Datuk Sulaiman Abdullah dan Peguam Kanan Persekutuan, Manoj Kurup telah menemui Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Khainur Aleeza Ismail.

Sebelum kes itu dipanggil di hadapan panel lima anggota hakim Mahkamah Persekutuan, ketua panel berkenaan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin memaklumkan bahawa kes itu telah ditangguh sehingga tarikh berkenaan.

Hakim lain dalam panel tersebut terdiri daripada hakim Mahkamah Persekutuan Datin Paduka Zaleha Zahari, Datuk Zainun Ali, Datuk Seri Mohamed Apandi Ali dan Datuk Ramly Ali.

Manoj berkata Anwar membantah kehadiran Mohamed Apandi dalam panel tersebut dan sekiranya prosiding diteruskan, beliau (Manoj) akan membantah permohonan untuk melucutkan kelayakan hakim tersebut. Sementara itu, Sulaiman enggan mendedahkan sebab penangguhan itu dan berkata perkara itu dilakukan dalam kamar.

Anwar, 64, telah memfailkan permohonan itu pada Mei tahun ini, sembilan tahun selepas beliau dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan atas dakwaan meliwat pemandu keluarganya Azizan Abu Bakar.

Anwar dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2 September 2004, dalam keputusan majoriti 2-1, daripada pertuduhan meliwat Azizan.

Mahkamah Persekutuan telah membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun ke atas Anwar.

Panel Mahkamah Persekutuan yang sama turut membatalkan sabitan dan hukuman penjara enam tahun ke atas adik angkat Anwar, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja yang dibicarakan bersama-sama Anwar atas dakwaan meliwat Azizan di Tivoli Villa di Kuala Lumpur pada 1994.

Hakim Mahkamah Persekutuan ketika itu Tun Abdul Hamid Mohamad, yang kemudiannya menjadi Ketua Hakim Negara, menulis majoriti penghakiman itu.

Dalam penghakiman itu, beliau (Abdul Hamid) berkata: "Kami mendapati wujud keterangan yang mengesahkan perayu (Anwar dan Sukma Darmawan) terlibat dalam aktiviti homoseksual dan kami cenderung untuk percaya bahawa insiden yang didakwa berlaku di Tivoli Villa itu benar-benar berlaku, kadang kala ....". -BERNAMA

Artikel Lain