suria

Lima Pemimpin MIC N.Sembilan Nyata Hasrat Tanding Jawatan CWC

SEREMBAN: Setakat ini lima pemimpin MIC Negeri Sembilan menyatakan hasrat untuk bertanding jawatan anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) pada pemilihan MIC di Melaka, 30 November ini.

Pengerusi MIC negeri Datuk T. Rajagopalu berkata selain beliau, empat yang lain ialah Ketua Penerangan MIC Kebangsaan Datuk V.S. Mogan, anggota Exco kerajaan negeri L. Manickam, Pengerusi MIC Bahagian Seremban Datuk A. Ganesan dan Pengerusi MIC Bahagian Tampin Datuk S. Rajendran.

"Dua yang mempertahankan jawatan itu ialah Mogan dan Ganesan," katanya kepada Bernama di sini Khamis.

Bekas anggota Parlimen Telok Kemang Datuk S. Sothinathan pula akan bertanding merebut jawatan Naib Presiden.

Sementara itu, Mogan, yang juga Pengerusi MIC Bahagian Rembau, berkata hasrat beliau untuk bertanding (mempertahankan) jawatan anggota CWC kerana ingin meneruskan khidmat kepada parti dan masyarakat India.

"Pada pemilihan 2009 lepas saya menduduki senarai ketiga terbanyak pengundian dan saya harap pada pemilihan kali ini, para perwakilan akan memberi peluang ini kepada saya.

"Berdasarkan khidmat saya sebelum ini, saya pasti mampu memikul tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik," kata bekas Exco kerajaan negeri dan juga bekas anggota Dewan Undangan Negeri Jeram Padang itu kepada Bernama. - BERNAMA

Artikel Lain