suria

Lelaki Larikan Kenderaan Polis Maut Kemalangan

KUANTAN: Seorang lelaki maut selepas kereta peronda polis yang dilarikannya melanggar tiang perhentian bas di Km107 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan awal pagi Khamis.

Dalam kejadian 4.30 pagi Khamis, suspek Muhd Nasrulfahmi Abdul Nasir, 22, yang mengalami kecederaan di kepala disahkan mati ketika dirawat di Hospital Temerloh jam 7.58 pagi.

Menurut Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Abd Ghani, suspek yang berasal dari Jengka itu dilaporkan telah menyerang anggota polis di Tol Chenor dengan menggunakan sebatang besi.

"Suspek dipercayai telah menyerang dan memukul anggota polis terbabit di tol berkenaan sebelum merampas pistol anggota polis itu dan melepaskan empat das tembakan.

"Tembakan itu bagaimanapun tidak mengenai anggota polis terbabit.

"(Selepas bertindak melarikan kereta polis itu), suspek telah melanggar tiang perhentian bas di Km107 Jalan Kualan Lumpur-Kuantan dan cedera di kepala. Suspek meninggal di Hospital Temerloh pada jam 7.58 pagi," katanya menerusi sistem pesanan ringkas pada Khamis.

Motif serangan dan punca kejadian masih belum diketahui. - BERNAMA

Artikel Lain