suria

Culik Kanak-Kanak Britain: Polis Percaya Ada Lagi Suspek Terlibat

KUALA LUMPUR: Polis tidak menolak kemungkinan terdapat individu lain terlibat dalam kes penculikan kanak-kanak Britain, Freddie Joseph di Bangsar, di sini pada 8 November.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata pihaknya telah menyoal siasat bekas pembantu rumah yang pernah berkhidmat dengan keluarga kanak-kanak itu dan teman lelakinya sejurus penahanan mereka pada 10 November, tetapi ia tidak membawa sebarang petunjuk positif.

"Jadi kami syak ada lagi suspek terlibat. Harap maklumat tentangnya boleh diperoleh menerusi rakaman percakapan dengan ibu mangsa sedikit masa lagi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Kuala Lumpur di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Rabu.

Joseph, setahun lapan bulan, diculik seorang lelaki dan wanita di rumahnya di Bangsar, ketika ibunya masuk ke dalam rumah selepas memberi anaknya itu makan di halaman rumah mereka.

Kanak-kanak itu dijumpai oleh orang awam di Taman Tasik Titiwangsa di sini, 18 jam selepas diculik.

Mohmad berkata ibu kanak-kanak itu yang masih dalam keadaan trauma diharap dapat memberi gambaran sebenar kejadian itu supaya memudahkan polis membuat siasatan.

"Kami harap sewaktu percakapan dirakam dia beri kerjasama yang baik," katanya. Dalam kes lain, Mohmad berkata pihaknya sedang mengemaskini semua bukti kes rompakan kedai emas di Festival City Setapak, di sini, pada 31 Oktober lepas untuk membolehkan suspek didakwa atas tuduhan menyamun.

"Sekarang kami sedang berusaha mencari teman wanita suspek utama untuk membantu siasatan. Gambarnya telah disebarkan kepada umum untuk membolehkan orang ramai membuat laporan sekiranya terserempak dan ternampak wanita itu," katanya.

Dalam kejadian pukul 9 pagi itu, suspek yang merupakan pengawal keselamatan di pusat membeli-belah itu yang lengkap berpakaian seragam bertindak mengacukan senjata api kepada empat pekerja premis berkenaan sebelum melarikan satu dulang berisi kira-kira 100 utas rantai leher.

Terdahulu, ketika berucap pada perhimpunan bulanan itu Mohmad berkata indeks jenayah di ibu negara menurun sebanyak 1,041 kes atau lima peratus bagi tempoh Januari hingga November ekoran Ops Cantas. -BERNAMA

Artikel Lain