suria

BN, PR Bincang Penyelesaian Rayuan Petisyen Pilihan Raya

PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat sedang berbincang berhubung 19 rayuan petisyen pilihan raya yang belum selesai di Mahkamah Persekutuan sama ada penyelesaian secara menyeluruh boleh dicapai.

Pada peringkat awal, peguam BN Datuk Mohd Hafarizam Harun dan Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin memaklumkan lima panel hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif bahawa kedua-dua pihak akan membincangkan penyelesaian menyeluruh.

Turut sama dalam panel itu ialah Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Ahmad Maarop, Datuk Hasan Lah dan Datuk Ramly Ali.

Mahkamah menetapkan 2 Disember bagi kedua-dua pihak memaklumkan hasil perbincangan itu.

Hari ini, pada mulanya, mahkamah dijadual mendengar rayuan-rayuan petisyen pilihan raya dari beberapa kawasan Parlimen, antara lain, Bagan Datoh, Sungai Besar dan Kuala Selangor.

Di luar mahkamah, Mohd Hafarizam memberitahu pemberita bahawa terdapat 19 rayuan dan BN telah memfailkan kurang daripada 20 petisyen pilihan raya dengan empat daripadanya sedang menunggu rayuan.

"Kami tidak akan menggunakan mahkamah sebagai platform untuk mengubah kerajaan. Sebab itu kenapa kami (BN) memfailkan kurang (petisyen) dan kami kurang merayu," katanya.

Mohd Hafarizam berkata 19 rayuan itu meliputi antara lain kawasan Parlimen Machang, Ketereh, Batu, Lembah Pantai, Bagan Datoh, Sungai Besar, Kuala Selangor dan Titiwangsa, manakala bagi kawasan Dewan Undangan Negeri ialah Selising, Selama dan Manong.

Firoz berkata kedua-dua pihak berbincang sama ada rayuan-rayuan itu boleh mencapai satu penyelesaian menyeluruh. Sambil menyifatkan langkah itu sebagai positif bagi semua pihak, Firoz berharap perkara itu boleh diselesaikan secara baik dan parti-parti politik boleh mencapai persetujuan berhubung perkara itu.

Edmund Bon yang bertindak bagi calon-calon PKR mengesahkan mereka bersetuju untuk berbincang mengenai penyelesaian itu. Semua petisyen pilihan raya dibatalkan oleh Mahkamah Pilihan Raya dengan kos atas bantahan awal kerana tidak mematuhi Peraturan 9 dan Peraturan 34 bagi Peraturan-peraturan Petisyen Pilihan Raya 1954.

Para perayu membuat rayuan kepada Mahkamah Persekutuan supaya petisyen pilihan raya mereka dikembalikan dan dihantar ke Mahkamah Pilihan Raya untuk ditentukan berdasarkan merit, dengan cara perbicaraan penuh. -BERNAMA

Artikel Lain