suria

Bayi Mangsa Kereta Dilarikan Jalani Pembedahan Keluarkan Cecair Dalam Otak

Muhammad Ashraf Ikhwan ketika dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah selepas kereta yang dinaiki bersama ibu bapanya dilarikan seorang remaja di Dungun, Terengganu, Isnin lepas.
Muhammad Ashraf Ikhwan ketika dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah selepas kereta yang dinaiki bersama ibu bapanya dilarikan seorang remaja di Dungun, Terengganu, Isnin lepas.
Muhammad Ashraf Ikhwan ketika dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah selepas kereta yang dinaiki bersama ibu bapanya dilarikan seorang remaja di Dungun, Terengganu, Isnin lepas.

PETALING JAYA: Bayi lelaki yang menjadi mangsa dalam kejadian kereta dilarikan seorang remaja di Dungun, Terengganu, Isnin lepas menjalani pembedahan mengeluarkan cecair di dalam otaknya.

Dr Benedict Marius Selladurai yang merawat Muhammad Ashraf Ikhwan, di Pusat Perubatan Ara Damansara di sini berkata pembedahan bayi sembilan bulan itu dijangka memakan masa sejam.

"Pemantauan rapi perlu diberikan terhadap bayi itu selepas pembedahan dilakukan," katanya selepas menerima 'Lawatan Sentuhan Rohani' oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim di hospital itu.

Rohani sempat meluangkan masa kira-kira sejam melawat Muhammad Ashraf di Unit Rawatan Rapi hospital itu sebelum bayi itu dibawa masuk ke bilik pembedahan.

Isnin lepas, keluarga bayi itu melalui detik cemas apabila seorang remaja melarikan kereta itu bersama bayi mereka di Dungun, Terengganu.

Dalam kejadian pukul 5 petang di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya Pantai Timur di Bukit Besi-Ajil menyebabkan bapa Ashraf, Pirhat Karim, 34, dan isterinya, Che Mastura, 31, cedera manakala bayi mereka koma setelah tercampak dari kenderaan.

Rohani, pada lawatan itu turut menyerahkan bantuan RM2,000 melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di bawah skim Pemberian Ehsan Kepada Mangsa dan Keluarga (PEKA) yang mana skim itu bertujuan memberi sokongan moral di samping membantu meringankan beban yang dialami keluarga mangsa.

Beliau berkata pada tahun ini, sejumlah RM38,500 diberikan kepada 42 penerima manfaat itu.

Antara insiden yang menerima bantuan PEKA oleh YKN ialah mangsa nahas bot di Belaga, Sarawak, kemalangan bas di Genting Highlands, tanah runtuh di Hulu Langat dan kepada keluarga jurukamera BernamaTV Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor, yang terbunuh di Somalia pada 2011, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain