suria

Tun M Gesa Ajar Semula Sains & Matematik Dalam BI

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengulangi gesaannya bagi sains dan matematik diajar dalam bahasa Inggeris.

Beliau berkata sains dan matematik kini merupakan ilmu yang amat penting dan perlu dikuasai rakyat Malaysia sekiranya Malaysia mahu maju dan mencapai status negara maju.

"Saya ingin merayu sekali lagi supaya sains dan matematik diajar dalam bahasa Inggeris. Kita perlu bersikap realistik. Bahasa Melayu masih belum lagi menjadi bahasa sains dan matematik," katanya.

Dr Mahathir berkata demikian dalam ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Pendidikan Guru Dalam Dunia Islam kali ke-2 anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di sini, Selasa.

Beliau berkata sekiranya rakyat Malaysia tidak menguasai bahasa Inggeris dengan baik khususnya bahasa Inggeris saintifik dan teknikal, rakyat Malaysia tidak akan mampu bergerak seiring dengan kemajuan pesat dalam bidang itu.

"Pelajar, malah tidak akan diambil bekerja. Kebanyakan siswazah menganggur ialah mereka yang tidak fasih bahasa Inggeris. Adalah menyedihkan sekiranya pelajar cemerlang di sekolah tetapi mereka ditolak daripada diambil bekerja kerana tidak menguasai atau lemah dalam bahasa Inggeris," katanya.

Dr Mahathir berkata rakyat Malaysia perlu bersikap pragmatik. Pejuang bahasa kebangsaan mungkin berfikir nasionalisme ialah mengenai kemampuan bertutur dalam bahasa kebangsaan dengan baik dan itu adalah salah.

"Nasionalisme ialah mengenai kejayaan dalam semua bidang dalam kehidupan, berupaya menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan negara anda dan bangsa anda, dihormati dan dikagumi orang lain, menjadi pemimpin dalam apa juga bidang yang anda ceburi dan berjaya berdiri sama tinggi. Itulah nasionalisme yang sebenar," katanya.

Dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama tersebut, Dr Mahathir berkata beliau dapati kerajaan tidak berminat untuk mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

"Mereka ingin kembali kepada Bahasa Kebangsaan. Malangnya bidang ini tidak seperti bidang-bidang lain. Kalau belajar Geografi atau Sejarah isi kandungannya tidak berubah. Bertahun-tahun macam itu. Kalau sesuatu berlaku di sesuatu tempat, tidak boleh kata ia berlaku di tempat lain," jelasnya.

Dr Mahathir berkata sains adalah berbeza kerana sepanjang masa ada penyelidikan dibuat dan pengetahuan baharu dengan benda-benda baharu diperkenalkan.

"Benda-benda yang tidak disangka pun diperkenalkan. Biasanya oleh penyelidik-penyelidik dalam kertas kerja yang mereka sediakan. Kertas kerja ini 98 peratus dalam bahasa Inggeris," jelasnya.

Katanya, kalau tidak belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, sukar untuk ikut perkembangan ilmu semasa dan boleh ketinggalan.

"Saya orang Melayu. Saya sayang bahasa saya. Tapi saya lebih utamakan ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh bangsa. Kalau tidak hendak guna bahasa Inggeris, kemungkinan ialah ketinggalan dari segi ilmu dan tidak boleh bersaing dengan orang lain. Malaysia tidak boleh jadi sebuah negara maju.

"Ilmu sudah berkembang dengan pesat tetapi orang Melayu tidak boleh dapat ilmu kerana ia tidak datang dalam bahasa Melayu," katanya.

Dr Mahathir turut mencadangkan kurikulum pelajaran agama Islam disemak semula.

"Saya dapati kebanyakan guru mempunyai ilmu tapi tekanan terhadap pembentukan peribadi yang baik tidak diutamakan. Apa yang diutamakan ialah bagaimana mengerjakan sembahyang, puasa dan zakat. Tetapi agama Islam turut beri panduan bagaimana untuk menjadi manusia yang baik," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain