suria

Tangkapan Suspek Utama Kes Bunuh Pegawai Ambank Dibuat Ikut SOP

SHAH ALAM: Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan pada Rabu meminta orang ramai bersikap lebih rasional dalam memberikan komen terhadap kaedah yang digunakan polis semasa menangkap suspek utama kes bunuh pegawai bank Ahad lepas.

Anggota-anggota yang memberkas suspek utama itu tahu apa yang perlu mereka lakukan serta mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan, katanya kepada wartawan selepas menghadiri Majlis Himpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas komen berhubung penangkapan suspek utama kes itu di sebuah laman sosial yang mempersoalkan keperluan suspek itu dikawal oleh sekurang-kurangnya empat orang didakwa komando Unit Tindakan Khas yang lengkap bersenjata dan bertopeng muka.

Kes pembunuhan kejam pegawai AmBank Norazita Abu Talib di Subang Jaya, dekat sini 23 Oktober lepas merupakan kes berprofil tinggi dan menimbulkan kemarahan orang awam menyebabkan kes itu perlu menggunakan anggota terlatih dan pakar, katanya.

"Kita kena lihat ia kes jenayah profil tinggi, dia (suspek) melarikan diri, kami tidak mahu dia membunuh orang lain atau mencederakan dirinya sendiri dan kami mengambil kira dari semua sudut.

"Biar kami lakukan kerja kami, kami ada SOP dan kami tahu apa yang kami lakukan. Kami mentafsir dan menilai mengenai keselamatan dan kami tahu apa kami buat," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain