suria

Sistem Belanjawan Berasaskan Hasil Diperkenal Tahun Depan - Ahmad Husni

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperkenalkan sistem belanjawan berasaskan hasil (OBB) mulai tahun depan dalam usaha memastikan pengurusan kewangan di semua kementerian lebih efisien, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata OBB akan memastikan perbelanjaan oleh kementerian mencapai tahap efisien yang tinggi dan berkesan.

"Sekiranya tidak capai, kita akan potong belanjawan kementerian berkenaan. Kita akan mula tahun depan tetapi saringan tahun 2016," katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2014 bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat di sini.

Ahmad Husni berkata mana-mana kementerian yang tidak mencapai tahap efisien dalam perbelanjaan pada tahun saringan akan dipotong peruntukannya pada tahun berikutnya.

Beliau berkata sebagai permulaan tiga kementerian iaitu Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan disaring di bawah langkah itu.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain