suria

MCA Gesa Jabatan Perikanan Tubuh Jawatankuasa Kaji Masalah Nelayan

KUALA LUMPUR: MCA menggesa Jabatan Perikanan menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menangani masalah di kalangan nelayan termasuklah isu yang timbul ekoran keputusan kerajaan menguatkuasakan penggunaan saiz pukat tunda berukuran 38 milimeter (mm).

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata pembentukan jawatankuasa itu perlu bagi memastikan kehidupan nelayan di negara ini tidak terjejas.

"Isu dalam perikanan bukan isu saiz pukat tunda semata-mata tetapi melibatkan pelbagai isu lain.

"MCA menggesa agar Jabatan Perikanan menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk melihat isu-isu yang timbul dan memastikan kehidupan nelayan tidak terjejas akibat isu saiz pukat tunda dan isu-isu lain yang masih tertunggak," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pusat MCA di Wisma MCA, di sini, Selasa.

Dr Chua berkata masalah-masalah dalam sektor perikanan termasuklah kekurangan tenaga kerja dan keterbatasan dalam mengupah pekerja asing dalam sektor berkenaan.

Selain itu katanya, nelayan juga berdepan dengan masalah kawasan penangkapan ikan dan terpaksa bersaing dengan nelayan yang menangkap ikan secara haram.

Mengulas lanjut mengenai penguatkuasaan saiz pukat tunda, beliau berkata salah satu masalah yang timbul ialah masalah dari segi kos.

Peraturan saiz mata keroncong 38mm telah diletakkan sebagai syarat lesen pukat tunda sejak 1982, tetapi ditangguhkan penguatkuasaannya kerana terdapat bantahan daripada nelayan dan status sumber perikanan masih baik ketika itu.

Bagaimanapun, kerajaan menguatkuasakan penggunaan pukat tunda yang lubang jaringnya melebihi 38mm mulai 1 November lalu bagi menyelamatkan benih ikan laut daripada pupus.

Artikel Sebelum

Artikel Lain