suria

Ketua Kumpulan Tuhan Harun Tiada Dalam Tahanan Polis - Ketua Polis Pahang

Gambar fail Harun Mat Saad
Gambar fail Harun Mat Saad
Gambar fail Harun Mat Saad

KUANTAN: Polis mengesahkan ketua kumpulan ajaran sesat, Tuhan Harun telah hilang menyembunyikan dirinya.

"Setakat apa yang kami ketahui, Harun (Mat Saad) tidak berada dalam tahanan polis. Kami dimaklumkan oleh jabaan agama Islam bahawa tertuduh gagal menghadirkan diri di Mahkamah Syariah Kuantan pada Selasa untuk sebutan semula kes perbicaraannya.

"Terpulang ke mahkamah untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap suspek dan kita akan membantu untuk menjejaki beliau," kata Ketua Polis Negeri Pahang, Datuk Sharifuddin Abdul Ghani ketika dihubungi.

Pada 24 April lalu, Harun, 47 , didakwa di Mahkamah Rendah Syariah di sini atas 11 tuduhan termasuk menyebarkan ajaran yang bertentangan dan mempersendakan Islam.

Kumpulan berkenaan menjadi perhatian selepas Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Ahmad Rafli Abdul Malek mati ditembak dihadapan rumahnya di Indera Mahkota 2, dekat sini pada Ahad.

Seorang lelaki memakai jubah hitam memanggil Ahmad Rafli dan memberi salam kepadanya.

Sementara itu seorang lagi suspek yang berada di tempat duduk belakang sebuah kereta yang berada dihadapan rumah mangsa melepaskan tiga das tembakan yang menyebabkan mangsa mati ditempat kejadian.

Pada awal April, Ahmad Rafli mengetuai satu serbuan di sebuah premis yang digunakan oleh kumpulan ajaran sesat berkenaan di Lorong Pandan Damai di mana Harun dan enam wanita serta 24 lelaki ditahan.

Dua lagi premis yang turut diserbu oleh pegawai Jaip ialah di Lorong IM 16/1, Bandar Indera Mahkota dan Lorong Seri Teruntum 39, Jalan Bukit Ubi.

Dalam serbuan itu, pelbagai dokumen dirampas termasuk komputer riba, iPad dan 'thumb drive' dan cakera padat mengandungi perisian komputer dan maklumat mengenai kaedah pengajaran yang bertentangan dengan Islam.

Sharifuddin berkata pihak polis juga akan membantu menjejaki pengikut kumpulan Tuhan Harun selepas Jaip mengeluarkan waran tangkap terhadap mereka.

Beliau berkata siasatan bagi kumpulan ajaran sesat terletak di bawah bidang kuasa Jaip dan polis hanya akan bertindak sekiranya mereka memerlukan bantuan.

"Setakat ini dua pengikut kumpulan berkenaan telah tampil bagi membolehkan kenyataan mereka direkodkan.

"Saya berharap baki 29 lagi pengikut akan mengendahkan nasihat Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar supaya mereka menyerah diri secepat mungkin," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain