suria

Kerajaan Belum Buat Keputusan Bina Jambatan Labuan

LABUAN: Kerajaan masih mengkaji kemungkinan membina jambatan bagi menghubungkan Labuan dengan tanah besar Sabah, walaupun mendapat permintaan berulang kali daripada pelbagai pihak.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata Unit Perancang Ekonomi (EPU), yang bertanggungjawab bagi kajian mengenainya, belum membuat keputusan tentang perkara itu.

"Ia masih dikaji dengan teliti oleh EPU, agensi pusat yang berkenaan dan Kementerian Kewangan. Kami belum dapat memberi komitmen kami.

"Saranan berulang kali daripada dua pemimpin - seorang anggota parlimen dan seorang senator - agar sebuah jambatan dibina, didengar di Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Kami memang faham tentang permintaan itu serta keperluannya, dan kami sedang mengkajinya secara serius, tapi setakat ini, belum dapat memberi komitmen kami," katanya kepada Bernama, Selasa.

Ahmad Maslan berkata Labuan dianggap sebagai 'mutiara timur' bagi Malaysia kerana mempunyai pasaran tersendiri dan berpotensi bukan sahaja untuk menjadi hab bagi minyak dan gas, tetapi juga sebagai pusat kewangan antarabangsa.

Ditanya sama ada cukai berjuta-juta ringgit yang dikutip setiap tahun daripada syarikat minyak dan gas seperti Petronas, Shell dan Murphy boleh membantu membiayai pembinaan jambatan itu, Ahmad Maslan berkata jika terdapat dana mencukupi, permintaan itu akan lebih realistik, namun keputusan muktamad mengenainya adalah dari Putrajaya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain