suria

Kaki Mangsa Kemalangan Yang Terputus Hanya Ditemui Selepas 26 Jam Kejadian

BATU PAHAT: Kaki seorang penunggang motosikal berusia 23 tahun yang hilang akibat kemalangan dengan sebuah kereta pada Selasa, hanya ditemui di tanah perkuburan Cina 26 jam kemudian.

Kemalangan itu berlaku kira-kira pukul 2.30 petang berhampiran persimpangan Sungai Suloh ketika mangsa, yang hanya dikenali sebagai Mohd Taufik sedang dalam perjalanan ke Batu Pahat selepas melawat tunangnya di Senggarang.

Tapak kemalangan adalah kira-kira 200 meter dari tanah perkuburan Cina.

Menurut seorang saksi, Mohd Taufik jatuh di atas jalan raya selepas kemalangan itu dan bergantung dengan hanya sebelah kakinya untuk ke bahagian tepi jalan bagi mengelak daripada dilanggar kenderaan.

Menyedari bahawa salah satu kakinya telah terputus, dia merayu kepada mereka yang berada di situ untuk membantunya mencari anggota badan yang hilang.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, siasatan awal menunjukkan mangsa berlanggar dengan kereta yang menuju ke Sungai Suloh .

Beliau berkata, selepas kejadian itu, polis segera menjalankan operasi mencari kaki melibatkan unit K-9, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan ahli-ahli keluarga mangsa.

Bagaimanapun, beliau berkata, kaki hanya ditemui kira-kira pukul 4.30 petang Rabu.

ACP Din menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat atau orang-orang yang menyaksikan kejadian itu supaya menghubungi polis di 07-4327704.

Artikel Sebelum

Artikel Lain