suria

Industri Auto Negara Mesti Dikekalkan - Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Industri auto negara perlu dikekalkan jika Malaysia mahukan imbangan dagangan yang positif," kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata sejumlah RM12 bilion akan mengalir keluar negara jika semua kereta diimport, dan pada masa yang sama akan berlaku peningkatan dalam defisit dagangan.

"Kereta nasional jelas banyak menyumbang dalam mengurangkan defisit dagangan serta membantu mewujudkan industri kejuruteraan, yang berkembang melepasi pengeluaran kereta.

"Ia juga membantu merealisasikan matlamat menjadikan Malaysia sebagai negara maju, yang memerlukan perindustrian tahap tinggi, pengukuhan ekonomi dan pendapatan per kapita," katanya.

Dr Mahathir yang juga Penasihat Proton berkata pembuat kereta nasional itu walaupun tidak memperoleh pulangan besar wang menerusi eksport, namun ia masih membantu negara dengan menghalang pengaliran keluar wang untuk membeli kereta asing.

Bercakap pada jamuan tengah hari sempena Persidangan Automotif Antarabangsa Kuala Lumpur keempat di sini hari ini, beliau berkata daripada 600,000 unit kereta yang dijual setahun, separuh daripadanya dibina dalam negara.

"Dengan mengandaikan harga purata RM40,000 seunit, jumlah jualan bernilai kira-kira RM12 bilion. Jumlah tambahan ini akan mengalir keluar jika semua kereta diimport.

"Dengan mengambil kira semua aspek, Proton sudah banyak menyumbang kepada ekonomi dan pembangunan negara," kata Dr Mahathir. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain