suria

UPP Rampas 100 Kg Daun Ketum, Berkas Penyeludup Warga Asing

KANGAR: Seorang lelaki dipercayai warga Thailand diberkas oleh Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) selepas motosikalnya terbabas ketika cuba menyeludup keluar 100 kilogram daun ketum, di Chuping pada Isnin.

Komander UPP Chuping ASP Syed Basri Syed Ali berkata dalam kejadian pukul 3 petang itu, motosikal lelaki berusia 20 tahun tersebut terbabas ketika dia cuba melarikan diri daripada pasukan UPP yang melakukan kawalan di kawasan kebun getah, kira-kira satu kilometer dari pagar sempadan. Hasil pemeriksaan ke atas motosikal bernombor pendaftaran Thailand itu, pihak UPP menemukan empat guni plastik mengandungi daun ketum dengan berat keseluruhan 100 kg, bernilai RM10,000, katanya dalam kenyataan, di sini, Selasa.

Katanya dalam siasatan awal, lelaki yang tidak mempunyai dokumen perjalanan itu mengaku rakyat Thailand dan daun ketum tersebut mahu dibawa masuk ke negara berkenaan. Suspek dan daun ketum berkenaan sudah diserah kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Padang Besar untuk siasatan lanjut, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain