suria

Tourism Malaysia Tawar Peluang Niaga Kepada Britain

KUALA LUMPUR: Tourism Malaysia dengan kerjasama syarikat perdagangan dan pelaburan United Kingdom pada Selasa menawarkan peluang kepada golongan peruncit dari Britain untuk menerokai pasaran niaga di negara ini menerusi Seminar 'Shop Malaysia.'

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab berkata, seminar ini menjelaskan secara terperinci mengenai perkembangan industri peruncitan di Malaysia selain dapat mengukuhkan hubungan perniagaan di antara kedua-dua negara ini.

"Kami juga akan membantu golongan peruncit ini untuk memasuki pasaran di Malaysia yang semakin berkembang sejak beberapa tahun lalu," katanya.

Menurut Mirza, UK merupakan antara rakan niaga ke-18 terbesar Malaysia dengan jumlah dagangan mencecah £2.76 bilion.

"UK menduduki ranking kelapan bagi kategori pelabur asing dalam sektor pembuatan di negara ini dengan pelaburan berjumlah lebih daripada £1.25 bilion.

"Pelaburan utama UK adalah dalam sektor kimia, petrokimia, elektrik dan elektronik dan produk galian," katanya ketika berucap pada seminar 'Shop Malaysia' di sini.

Berdasarkan sambutan yang menggalakkan bagi rangkaian peruncitan jenama terkemuka British, beliau yakin masa depan industri ini akan terus kukuh pada masa akan datang.

"Jadi seminar ini diharap akan menjadi landasan untuk menarik lebih ramai pemilik jenama terkemuka dari UK untuk menerokai pasaran di Malaysia," katanya.

Sementara itu, Mirza berkata, beli-belah adalah sektor yang menjadi tarikan utama dalam industri pelancongan di negara ini.

"Ia merupakan perbelanjaan kedua terbesar pelancong selepas penginapan," katanya.

Beliau berkata, pada tahun lalu pelancong membelanjakan RM19 bilion untuk membeli-belah, meningkat kepada 5.7 peratus berbanding 2011.

Sehubungan itu, katanya, Tourism Malaysia mensasarkan untuk menarik 36 juta pelancong berkunjung ke negara ini menjelang 2020.

Artikel Lain