suria

Suspek Utama Bunuh Pegawai AmBank Akan Didakwa Dalam Masa Terdekat - KPN

KUALA LUMPUR: Suspek utama kes bunuh pegawai AmBank Subang Jaya yang ditahan Ahad lepas di Kampung Belungkor, Kota Tinggi, dijangka didakwa dalam masa terdekat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya ketika ini masih menggumpul bukti dan mengesan individu lain yang dipercayai turut terlibat dalam rompakan pada 23 Oktober lepas itu.

"Dia akan didakwa tidak lama lagi...ketika ini kami masih menggumpul bukti dan menggesan siapa lagi yang terlibat dalam kejadian itu," katanya dalam SMS kepada Bernama hari ini.

Susulan tangkapan suspek utama itu polis kini memburu rakan jenayahnya dikenali sebagai 'Joemar' yang disyaki menyimpan sebahagian besar hasil rompakan itu.

Semalam, Khalid berkata Joemar yang dipercayai rakyat Indonesia juga bersubahat merancang rompakan dengan suspek utama itu.

Sehari selepas suspek utama berusia 35 tahun itu ditahan, polis membawa lelaki itu ke lokasi kejadian dan menemui semula pump gun yang dipercayai digunakan suspek di sebuah longkang di Jalan Subang 2, Taman Perindustrian Subang tidak jauh dari lokasi kejadian itu.

Turut ditemui tiga butir peluru hidup dan satu kelongsong peluru.

Dalam kejadian rompakan itu, Norazita Abu Talib, 37, maut ditembak ketika membuka peti besi di dalam bilik kebal bank itu dan suspek melarikan diri dengan hasil rompakan berjumlah RM450,000.

Artikel Lain