suria

Pecah Amanah: Bekas Eksekutif Akaun Dipenjara 42 Tahun

KUALA LUMPUR: Seorang bekas eksekutif akaun sebuah syarikat pada Selasa dijatuhi hukuman penjara berjumlah 42 tahun dan didenda RM620,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan pecah amanah membabitkan RM600,000.

Hakim Mat Ghani Abdullah menjatuhi hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan terhadap Heow Siew Chun, 40, dan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak iaitu tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara selama enam tahun bermula hari ini.

Mahkamah juga memerintahkan wanita itu menjalani hukuman penjara 62 bulan, jika gagal membayar denda itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan di akhir kes pembelaan.

Dalam penghakimannya, Mat Ghani berkata pembelaan tertuduh hanya menjurus kepada pembelaan teknikal dan tiada merit.

"Secara keseluruhannya, wang yang diamanahkan kepada tertuduh dimasukkan ke akaun sendiri dan bukan ke akaun syarikat. Semuanya mempunyai kepentingan peribadi...sukar bagi mahkamah untuk mempercayai pembelaan tertuduh," katanya.

Tertuduh didakwa pecah amanah wang tunai RM644,664.86 milik syarikat pemasangan bumbung, Atapan Ace Sdn Bhd di syarikat itu di Taman Taynton, Cheras di sini antara Disember 2004 dan Disember 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda itu sehingga rayuan wanita itu selesai didengar di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menaikkan wang jaminan terhadap tertuduh daripada RM25,000 kepada RM50,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah.

Heow membayar wang jaminan itu.

Terdahulu, peguam S. Selvi memohon penangguhan itu kerana Heow kini tidak bekerja, mempunyai dua anak lelaki yang masih bersekolah dan menjaga ibu bapa yang sudah tua.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Amira Sariaty Zainal membantah permohonan itu kerana tiada keadaan yang khusus untuk tertuduh menangguhkan hukuman. BERNAMA

Artikel Lain