suria

Mayat Lelaki Ditemui Berhampiran Jeti NBCT

BUTTERWORTH: Seorang lelaki ditemui mati berhampiran jeti Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini pada Selasa.

Mayat Shaifi Fadzil, 33, ditemui terapung oleh seorang pekerja NBCT di Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) yang sedang membersihkan sampah sarap di tepi jeti pemunggahan di terminal itu pada pukul 10 pagi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Abdul Rahman Ibrahim yang dihubungi berkata tiada kecederaaan dikesan pada badan lelaki itu dan setakat ini polis mengklasifikasi kes itu sebagai mati mengejut.

Beliau berkata lelaki yang berasal dari Gua Musang, Kelantan dan bekerja di Perai sejak lebih setahun lepas dikatakan keluar dari rumahnya di Kampung Perlis di sini pada pada pukul 10 malam Isnin.

"Mayat lelaki itu dicam oleh isterinya yang berusia 33 tahun," katanya sambil memberitahu pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat terhadap mayat itu.

Sementara itu, pekerja yang hanya mahu dikenali sebagai Hadi yang menemui mayat itu, berkata beliau ternampak objek terapung dan pada mulanya menyangka ia sebatang kayu.

"Bagaimanapun selepas melihat dengan teliti baru saya menyedari itu ialah mayat seorang lelaki," katanya kepada pemberita di sini hari ini. BERNAMA

Artikel Lain