suria

Langat Dua: Kerajaan Guna Akta Bekalan Air Negara Jika Gagal Capai Persetujuan

KUALA LUMPUR: Kerajaan pusat boleh mengambil tindakan mengikut Akta Bekalan Air Negara jika gagal mendapat persetujuan kerajaan negeri Selangor untuk meneruskan projek Loji Rawatan Air Langat Dua.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata langkah itu dibuat atas kepentingan negara dan memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara.

"Projek ini sepatutnya siap pada Mac 2014 iaitu tahun depan. Ia telah tertangguh kerana kerajaan negeri telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan untuk membekukan kebenaran merancang iaitu 'Development Order'.

"Sehubungan itu, pihak kementerian menggesa kerajaan negeri selangor untuk bekerjasama mencari jalan penyelesaian muktamad mengenai bekalan air di negeri itu, sekali gus mengeluarkan 'Development Order' iaitu kebenaran merancang kepada projek-projek rawatan air Langat Dua ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab Charles Santiago (DAP-Klang) yang mencelah pada sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2014 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat di sini, Selasa malam.

"Projek Langat Dua ini hendaklah dibenarkan beroperasi dan seharusnya siap pada tahun 2014. Sekiranya persetujuan (membenarkan) tidak dapat dicapai, keadaan air di Selangor akan teruk," katanya. BERNAMA

Artikel Lain