suria

KP1M Hantar Bantuan Kemanusiaan Ke Filipina Esok

KUALA LUMPUR: Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) menghantar misi kemanusiaan ke Filipina esok bagi membantu mangsa taufan Haiyan Jumaat lalu.

Presiden KP1M, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata misi itu akan membawa bantuan makanan, ubat-ubatan, pakaian, khemah dan produk nutrisi bayi seberat 14 tan kepada 5,000 keluarga.

Katanya seramai 30 sukarelawan termasuk petugas media akan menaiki dua buah pesawat iaitu Charlie C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Airbus 320 AirAsia.

"Kedua-dua pesawat itu akan berlepas di Lapangan Terbang Subang dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang pukul 10 dan 11 pagi esok," katanya pada sidang media di pejabat KP1M di sini, Selasa.

Beliau berkata rombongan ituakan disambut wakil kerajaan Filipina, antaranya Datuk Bandar Cebu.

"Kumpulan kami dijangka mendarat di Lapangan Terbang Cebu pada waktu Maghrib dan akan bergerak masuk ke beberapa kawasan yang terjejas teruk antaranya Tacloban dan Iloilo. "Sekiranya diizinkan, kami akan pulang pada Ahad atau Isnin depan," katanya sambil menambah ini merupakan misi kali ke-34 KP1M.

Abdul Azeez berkata Ketua Jabatan Kecemasan Hospital Selayang, Datuk Dr Alwi Rahman akan bertindak sebagai ketua pasukan perubatan di kem-kem pemindahan mangsa dan hospital-hospital Filipina.

Katanya, pasukan itu terdiri daripada 11 doktor dan akan memberi rawatan kepada mangsa yang rata-ratanya mengalami masalah cirit-birit, selsema, jangkitan penyakit kulit dan sebagainya.

Lebih 10,000 orang dilaporkan terbunuh dan sejumlah besar cedera dan kehilangan tempat tinggal akibat taufan kencang itu. -BERNAMA

Artikel Lain