suria

Konsultan Syarikat Geneva Didakwa Terima Deposit Tanpa Lesen RM5.5 Bilion

KUALA LUMPUR: Seorang konsultan syarikat pelaburan jongkong emas Genneva (M) Sdn Bhd, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa kerana menerima deposit tanpa lesen membabitkan RM5.5 bilion, dua tahun lepas.

Datuk Joseph Kow Hock Beng, 55, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan Genneva untuk menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen melalui satu skim yang melibatkan transaksi emas menerusi dua akaun semasa CIMB Islamic Bank Berhad.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Kuchai Maju 6, Off Jalan Kuchai Lama di sini antara 10 Januari 2011 hingga 1 Oktober 2012.

Kow didakwa mengikut Seksyen 112(1)(c) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya dari Bank Negara Fahmi Abd Moin tidak menawarkan sebarang jaminan, bagaimanapun, sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, beliau menawarkan jaminan sebanyak RM1 juta dengan seorang penjamin.

Peguam Datuk Ghazi Ishak yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM50,000 kerana segala aset anak guamnya telah dibekukan.

Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 27 November untuk pengurusan kes dan 7 April hingga 24 April tahun depan untuk perbicaraan dan kes itu akan dibicarakan bersama kes yang dihadapinya di Pulau Pinang selepas kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini.

Pada 30 Oktober lepas, di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang, Kow dan isterinya Veronica Tan, 51, yang merupakan pengarah beberapa syarikat, didakwa terhadap 81 pertuduhan melakukan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah lebih RM15 juta dalam bentuk wang tunai, cek dan jongkong emas. -BERNAMA

Artikel Lain