suria

Kes Tembak Ketua Penguatkuasaan Jaip Disiasat Daripada Segala Aspek - Polis

KUANTAN: Polis tidak menolak kemungkinan pengikut kumpulan 'Tuhan Harun' atau ajaran sesat lain terlibat dalam kes pembunuhan Ketua Penguatkuasaan Agama Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Ahmad Raffli Ab Malik dua hari lepas.

Sehubungan itu, Ketua Polis Pahang Datuk Sharifudin Ab Ghani meminta pengikut kumpulan itu atau kumpulan ajaran sesat lain yang mempunyai maklumat berkaitan kes tembak itu tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Beliau berkata bagaimanapun polis juga akan menyiasat kes itu daripada aspek lain dan sama ada suspek terlibat masih berada di dalam negeri atau tidak.

"Sehingga kini belum ada pengikut 'Tuhan Harun' atau kumpulan ajaran sesat lain tampil di balai polis memberi kerjasama," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Beliau berkata polis turut mengedarkan fotofit lelaki yang disyaki terlibat dalam kes itu dan meminta orang ramai yang terjumpa lelaki menyerupai fotofit itu supaya menghubungi polis.

Ahad lepas, Ahmad Raffli, 49, mati akibat ditembak dari jarak dekat oleh seorang daripada tiga suspek yang datang ke rumahnya di Indera Mahkota 2, dekat sini.

Suspek kemudian melarikan diri dengan kereta Proton Wira Aeroback berwarna putih.

Sebelum ini Ahmad Raffli terlibat dalam mengendalikan dua kes berkaitan jenayah syariah di Pahang iaitu kes ajaran sesat Tuhan Harun dan gerakan ajaran Syiah.

Sharifudin berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi balai polis Kuantan di talian 09-5132222, bilik gerakan IPD Kuantan (09-5142999), Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kuantan DSP Zakaria Abu Kassim (019-3822020) dan pegawai penyiasat ASP Zukri Muhammad (013-9764999). -BERNAMA

Artikel Lain