suria

Hina Sultan Kelantan di FB: Umno & NGO Buat Laporan Polis

TUMPAT: Umno Bahagian Tumpat dan Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) Tumpat pada Selasa membuat laporan polis berhubung tindakan seorang pemilik akaun Facebook yang didakwa menghina Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, ketika sambutan hari keputeraan baginda pada Isnin.

Ketua Pemuda Umno bahagian itu, Rosidi Mahmud Kamaruddin berkata kenyataan pemilik akaun laman sosial itu menggunakan nama 'Listen Basikal Tua' dianggap melampau dan boleh mencemarkan kedaulatan Raja-Raja.

"Kami berasa sedih dan terkilan kerana terdapat individu yang sanggup mengeluarkan kenyataan yang dianggap begitu melampau dan biadab itu," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Daerah Tumpat, di sini, Selasa.

Beliau berkata pihaknya mendesak pihak yang bertanggungjawab supaya menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan keras terhadap pemilik akaun Facebook berkenaan.

Ketua MTRK Tumpat Abdul Kadir Yakob berkata kenyataan pemilik akaun berkenaan dianggap keterlaluan kerana menghina kedudukan Sultan.

"Kita sepatutnya menghormati dan mematuhi Sultan Kelantan yang merupakan payung negeri, dan saya menggesa pihak polis supaya menyiasat dan meneliti perkara ini serta mengambil tindakan seadil-adilnya," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain