suria

Geng Samun di LRT, Kedai Serbanek Sekitar Cheras Tumpas

KUALA LUMPUR: Dua kumpulan, masing-masing dipercayai aktif melakukan samun di kawasan LRT dan kedai serbaneka 24 jam di sekitar daerah Cheras berjaya ditumpaskan dengan penahanan empat lelaki, termasuk tiga remaja.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh berkata suspek yang bergerak secara berpasangan itu ditumpaskan hasil Ops Cantas yang dijalankan secara berterusan di sekitar daerah itu minggu lepas.

Beliau berkata dua daripada suspek diberkas pada Sabtu di sekitar kawasan LRT Sri Petaling setelah dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika anggota Cawangan Pencegahan Jenayah Bukit Jalil menjalankan rondaan, pada pukul 11.15 malam di kawasan itu.

"Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua lelaki berusia 40 dan 18 tahun yang berasal dari ibu negara itu mendapati seorang daripada mereka menyelitkan sebilah pisau di bawah lengannya," katanya pada sidang akhbar di sini, Selasa.

Mohan Singh berkata geng kedua yang dianggotai dua remaja berusia 20 dan 17 tahun, ditahan dalam serbuan polis pada Ahad ketika sedang menyamun sebuah kedai serbaneka 24 jam di Taman Connought. "Kedua-dua suspek yang menaiki sebuah motosikal telah berhenti di hadapan kedai berkenaan kira-kira pukul 4.15 pagi sebelum pemboncengnya turun dan masuk ke dalam kedai sambil mengacukan parang," katanya.

Beliau berkata dalam serbuan itu, polis merampas sebilah parang yang dipercayai digunakan untuk mengancam mangsa selain dua topi keledar dan motosikal yang mereka gunakan.

"Serbuan itu dijalankan selepas pasukan khas polis yang ditubuhkan bagi mengesan suspek samun kedai serbaneka sebelum itu membuat pemerhatian sejak pukul 3 pagi ke atas kedai terlibat," katanya.

Kumpulan itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan mereka sejak empat bulan lepas, katanya.

Dengan kedua-dua tangkapan itu, polis percaya telah menyelesaikan sekurang-kurangnnya sembilan kes samun di sekitar Cheras melibatkan kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam dan di sekitar kawasan LRT. -BERNAMA

Artikel Lain