suria

Suspek Utama Kes Penculikan Bayi Freddie Ditahan

PETALING JAYA: Seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun bersama teman wanitanya yang merupakan warga Filipina berusia, 39 ditahan oleh pihak polis bagi membantu siasatan berhubung kes penculikan bayi berusia 20 bulan, Freddie Joseph di Bangsar pada Jumaat.

Wanita berkenaan pernah bekerja sebagai pembantu rumah di rumah ibu bayi berkenaan, yang merupakan seorang guru Bahasa Inggeris warga Britain, Sarah Joseph.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata suspek ditahan di sebuah flat di Taman Desa pada pukul 11 pagi Ahad.

Dalam kejadian 6.10 petang Jumaat, seorang kanak-kanak dilarikan seorang lelaki dan seorang wanita dipercayai warga asing menggunakan kereta Toyota Camry berwarna putih dihadapan rumahnya di Jalan Terasek 7, Bangsar.

Pada masa kejadian, ibu mangsa, Sarah Joseph, 38, masuk sebentar ke dalam rumah selepas memberi anaknya makan di halaman rumah, sebelum beliau terdengar bunyi bising di luar rumahnya.

Ketika itu, beliau nampak seorang lelaki cuba melarikan Freddie lalu menerpa ke arahnya untuk menyelamatkan anaknya sambil menjerit meminta pertolongan sehingga berlaku pergelutan.

Akibat pergelutan itu, Sarah cedera di pergelangan tangan kanannya.

Bagaimanapun, bayi berkenaan ditemui dalam keadaan selamat di Taman Tasik Titiwangsa oleh seorang pesara pada tengah hari Sabtu.

Polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai penculikan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain