suria

Struktur Utama Kuil Sri Muneswarar Kaliyaman Tidak Akan Diroboh - Ku Nan

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan mengulangi jaminan struktur utama Kuil Sri Muneswarar Kaliyaman di Jalan P Ramlee di sini tidak akan diroboh walaupun tidak mematuhi ciri-ciri kuil sebenar.

Menterinya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hanya menjalankan tugas mencantikkan kawasan itu bagi menarik pelancong selain memastikan tiada aktiviti haram dijalankan di kawasan berkenaan.

"Saya tak akan lakukan perkara yang sentuh perasaan... terserah kepada mereka. Saya tahu apa yang berlaku (dan) kita cuma nak pastikan tempat ini tidak diambil kesempatan untuk benda selain agama. Kita ada perintah mahkamah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Koperasi Wilayah Persekutuan 2013, di sini, Isnin.

Beliau diminta mengulas tindakan DBKL semalam yang menjalankan operasi meroboh membabitkan gerai dan bahagian sisi kuil, menyebabkan DBKL dituduh meroboh kuil yang dibina pada 1911 itu.

Tengku Adnan berkata kementerian telah mengadakan beberapa siri rundingan membabitkan enam jawatankuasa yang masing-masing mendakwa mereka pengelola kuil itu serta pihak pemaju namun menemui jalan buntu.

Mengulas lanjut, beliau berkata semua pihak seharusnya akur terhadap undang-undang di negara ini serta memahami isi kandungan perintah mahkamah terhadap kewajaran perobohan itu.

"(Isu) ini bukan waktu saya jadi menteri... perkara ini dah lama. Kita ada perintah mahkamah untuk DBKL merobohkannya namun kita berunding dulu, malah beri wang (pampasan).

"Kami telah berunding dengan Hindu Sangam tapi ada orang ketiga campur tangan, yang suka melihat ada perpecahan. Dia nak bawa isu kononnya kita kerajaan tak adil," katanya lagi. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain