suria

Rumah Freddie Sentiasa Diawasi Pasukan Peronda Polis

KUALA LUMPUR: Rumah teres dua tingkat yang dihuni kanak-kanak warga Britain yang diculik Jumaat lepas, sentiasa diawasi unit peronda polis.

Tinjauan Bernama mendapati rumah Freddie Joseph, kanak-kanak berumur setahun lapan bulan itu sunyi dan gelap, namun sentiasa dikawal polis yang membuat rondaan setiap dua jam di rumah itu.

Wartawan daripada pelbagai agensi 'berkampung' di kediaman kanak-kanak itu sejak pukul 10 pagi dalam usaha menemu bual ibunya, Sarah Joseph, 38.

Seorang jiran keluarga itu, Chee Ping Yee, 34, berkata sejak kejadian penculikan, beliau sentiasa berhati-hati dengan keadaan di sekitar kawasan perumahannya.

Jurutera yang mempunyai tiga anak hasil perkahwinan dengan warga Eropah dikenali sebagai Tom, 50, menetap di rumah itu sejak tiga tahun lepas.

"Mestilah ada rasa takut, kes culik ini bukan sebab kanak-kanak itu warganegara asing atau tidak, tetapi kes culik boleh terjadi kepada sesiapapun.

"Sebelum ini saya mengupah jurulatih bola untuk anak-anak saya pada setiap Selasa dan Rabu, tetapi kini terpaksa menukarnya kepada hujung minggu agar suami dapat menemani mereka," katanya.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Faizal berkata ketika kejadian beliau terdengar jeritan ibu kanak-kanak itu tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana kejadian berlaku dengan pantas.

"Saya cuma dapat dengar ibu Freddie menjerit meminta tolong ketika saya sedang bersenam di taman permainan di hadapan rumah. Saya tidak begitu mengenali ibu kanak-kanak itu," katanya ketika ditemui di taman permainan, Jalan Terasek dekat sini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain