suria

Pengiran Muda Mahkota Brunei Lawat Kementerian Pertahanan

KUALA LUMPUR: Pengiran Muda Mahkota Haji Al-Muhtadee Billah Ibni Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah yang dalam lawtan rasmi ke Malaysia, hari ini berkenan melawat Kementerian Pertahanan di Jalan Padang Tembak di sini.

Keberangkatan tiba baginda pada 9.10 pagi yang diiringi Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, disambut oleh Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Turut mengiringi baginda 23 anggota delegasi Brunei Darussalam.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Ismail Ahmad.

Pengiran Muda Mahkota kemudiannya memeriksa barisan kehormatan Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja terdiri daripada tiga pegawai dan 104 anggota.

Pengiran Muda Mahkota yang juga Jeneral Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri Brunei Darussalam kemudian diberi taklimat mengenai pengurusan tertinggi Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sebelum berangkat pulang, Pengiran Muda Mahkota dan Hishammuddin saling bertukar cenderamata.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan, lawatan itu bertujuan mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Brunei Darussalam serta mempertingkat kerjasama pertahanan.

Baginda berada di negara ini sejak Jumaat lepas bagi lawatan rasmi lima hari.

Baginda dijadual menyertai latihan dan demonstrasi bersama ATM di Kem Terendak, Melaka dan Kem Iskandar di Mersing, Johor.

Pengiran Muda Mahkota akan dikurniakan Beret Hijau dan Sayap Penerjunan PARA Kehormat pada penghujung latihan berkenaan.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain