suria

Kes Rayuan Amah Lambung Bayi Diputuskan 20 November Ini

KUANTAN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 20 Nov untuk membuat keputusan berhubung tahap kewarasan mental seorang pembantu rumah warga Indonesia yang dijatuhi hukuman penjara 20 tahun pada Februari lepas selepas mengaku bersalah mendera bayi majikannya.

Hakim Datuk Seri Mariana Yahya membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwa raya yang meminta diberi masa seminggu bagi menyemak hujahan pihak pembelaan berhubung laporan pemeriksaan mental tertuduh oleh Hospital Permai, Johor.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad ketika ditemui pemberita kemudiannya berkata pihaknya memerlukan masa kerana pihak pembelaan hanya menyerahkan hujahan itu kepada pihaknya hari ini.

"Kami yakin dalam tempoh seminggu dapat meneliti kesemua hujahan pihak pembela dan seterusnya berharap mahkamah dapat memberikan keputusan kes ini pada 20 Nov depan," katanya.

Terdahulu Yuliana, 23, yang hadir ke mahkamah dengan berpakaian berwarna merah jambu hanya tunduk ketika Hakim Mariana membenarkan permohonan tersebut.

Yuliana dari Acheh, Indonesia dijatuhi hukuman penjara 20 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan mendera bayi berusia empat bulan, 15 Feb lepas.

Pada 12 Mac lalu, Mariana memerintahkan wanita terbabit ditahan sementara di Hospital Permai, Johor selama tiga bulan bagi menentukan tahap kewarasan tertuduh setelah wanita terbabit memohon penangguhan pelaksanaan hukuman dihadapinya.

Yuliana diwakili peguam T.Vijayandran yang dilantik oleh Kedutaan Indonesia. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain