suria

Malaysia Tanding Kerusi Lembaga Eksekutif UNESCO Penggal 2015-2019

PARIS: Malaysia akan bertanding untuk menduduki kerusi Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk penggal 2015-2019.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ini berikutan keputusan jemaah menteri pada 25 Oktober lalu yang bersetuju dengan cadangan dikemukakan Kementerian Pendidikan untuk bertanding bagi kerusi lembaga eksekutif itu buat kali keenam.

"Sejak kita menjadi anggota UNESCO pada Jun 1958, kita menduduki kerusi lembaga ini sebanyak lima kali, (iaitu) tahun 1978 hingga 1983, 1987-1991, 1993-1997, 1999-2003 dan akhir sekali 2007 hingga 2011.

"Waktu kita menjadi anggota, kita terbabit secara aktif untuk menggubal dasar dan mengkaji keberkesanan program-program serta aktiviti Unesco ini terutamanya dalam bidang pendidikan, sains, kebudayaan, sains sosial, komunikasi dan informasi," katanya kepada wartawan Malaysia di sini.

Beliau berkata ia juga menjadi platform terbaik untuk Malaysia berkongsi pendapat dan amalan terbaik dengan lain-lain anggota UNESCO, di samping memastikan kepentingan dan pendirian Malaysia dapat didengari di peringkat antarabangsa.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata jawatankuasa kecil tetap Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) yang dipengerusikannya mengatur beberapa strategi untuk mendapatkan sokongan negara-negara anggota UNESCO.

"Antaranya ialah melalui penganjuran persidangan di peringkat antarabangsa dengan kerjasama Unesco seperti Persidangan Pendidikan Teknikal dan Vokasional yang akan berlangsung di Kuala Lumpur nanti.

"Langkah lain yang diatur termasuk menerusi kempen bersama dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan di mana kita akan adakan pameran serta persembahan," katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata hasrat Malaysia untuk bertanding telah dimaklumkan dalam pertemuannya dengan beberapa pemimpin negara anggota pada Persidangan Agung Unesco ke-37 yang berlangsung sejak Selasa.

"Kita minta supaya wakil mereka menyokong kita dan ia akan diputuskan pada persidangan agung pada 2015 nanti," kata Muhyiddin yang mengakhiri lawatan kerja lima hari ke ibu negara Perancis, pada Sabtu bagi menghadiri persidangan agung berkenaan di ibu pejabat UNESCO di sini.

Lembaga Eksekutif UNESCO dianggotai 58 negara, masing-masing selama empat penggal.

Sementara itu, Muhyiddin berkata beberapa syarikat terkemuka Perancis menyatakan minat untuk memperluaskan pelaburan mereka di Malaysia terutamanya dalam bidang industri penerbangan, pengangkutan, logistik dan perkhidmatan.

Dalam pertemuan dengan ketua-ketua industri Perancis pada Rabu, beliau berkata ada juga syarikat yang berminat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab untuk mereka berkembang ke lain-lain kawasan di Asia Tenggara.

"Dengan perjanjian perdagangan bebas yang telah kita meterai dan kedudukan kita yang strategik di kalangan negara-negara ASEAN, maka ini meningkatkan keyakinan mereka bahawa Malaysia merupakan tempat yang paling sesuai dan terbaik untuk mereka menjalankan operasi bukan saja untuk Malaysia tapi untuk rantau Asia Tenggara," katanya.

Beliau turut menjelaskan mengenai Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera dan bagaimana ia berperanan untuk menjadikan ekonomi Malaysia berkembang secara lebih seimbang, adil dan saksama.

"Kita yakinkan kepada mereka bahawa apa saja inisiatif yang kerajaan buat di dalam negara untuk memperkukuhkan ekonomi mana-mana pihak termasuk Bumiputera, harus dilihat secara positif.

"Sebenarnya ia membantu, bukan membantut peningkatan ekonomi Malaysia, jadi sepatutnya mereka tidak harus merasa bimbang tentang perkara itu," katanya.

- BERNAMA

Artikel Lain