suria

Lelaki Maut Ditetak Empat Lelaki Di Ipoh

IPOH: Seorang lelaki maut ditetak sekumpulan empat lelaki bertopeng yang bersenjatakan parang di rumah sewanya di Hala Pulai Timur 7, Taman Chandan Desa dekat Simpang Pulai di sini Sabtu.

S. Susindran, 22, mati akibat kecederaan parah di kepala, badan, kaki dan tangan.

Dalam kejadian pada pukul 2.30 petang itu, sekumpulan empat lelaki bertopeng memasuki rumah sewa lelaki itu manakala seorang lagi menunggu di dalam kereta Proton Perdana berwarna hitam, kata Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh Supt Ahmad Termizi Abdul Haq.

Beliau berkata Susindran baru sebulan setengah menyewa di rumah itu bersama sepasang suami isteri dan ketika kejadian mangsa berada di dalam rumah berkenaan bersama isteri pasangan yang menyewa bersamanya dikenali sebagai Letchumi berumur awal 30-an.

Ahmad Termizi berkata kira-kira 45 minit selepas menyerang Susindran, kumpulan lelaki terbabit dilapor menyerbu sebuah rumah di Lebuh Rapat Baru Lima, Taman Song Choon di sini.

Seorang penghuni rumah itu membuat laporan bahawa empat lelaki bertopeng masing-masing bersenjatakan parang memasuki rumahnya seolah-seolah mencari seseorang.

"Berdasarkan kepada jenis kereta, jumlah suspek dan terdapat kesan darah pada suspek kami syaki mereka ini merupakan suspek yang sama terlibat dalam kejadian bunuh itu," katanya.

Beliau berkata mayat Susindran dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

"Kami akan jalankan siasatan secara terperinci. Polis juga akan siasat sama ada kejadian ini membabitkan kumpulan kongsi gelap atau sebaliknya," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain