suria

Kanak-Kanak Tiga Tahun Rentung Dalam Kebakaran

MIRI: Seorang kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun rentung dalam kebakaran membabitkan dua rumah kayu di Kampung Sungai Dalam B di sini Ahad.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Zon Miri Law Poh Kiong berkata mangsa yang dikenali sebagai Mohamad Raldazudeen Abdul Dino ditemui rentung pukul 8.40 pagi setelah kebakaran dipadamkan sepenuhnya.

"Kejadian lebih kurang 7.30 pagi dan kita menerima panggilan 7.43 pagi. Tiga jentera dari dua balai bomba bersama 22 anggota pergi ke tempat kejadian namun punca dan anggaran kerugian masih disiasat," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Nenek mangsa, Aishah Abdullah, 62, berkata semasa kejadian itu beliau bersama menantu perempuan berlari keluar dari rumah namun terkejut apabila dimaklumkan suaminya, Sebri Pawi, 81, mangsa masih berada di dalam rumah namun usaha menyelamat gagal kerana api marak.

Aishah bersama ibu mangsa, Alura Hanapi, 29, dan seorang jiran lelaki berusia 30an turut mengalami kecederaan akibat melecur dan dirawat di Hospital Miri sebagai pesakit luar. - BERNAMA

Artikel Lain