suria

JPN Terenganu Atur Program Hadapi Pelan Pelaksanaan B. Inggeris Subjek Wajib Lulus SPM 2016

DUNGUN: Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) merancang pelbagai program dan strategi bagi menghadapi pelan pelaksanaan Bahasa Inggeris sebagai subjek wajib mendapatkan sijil untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2016.

Pengarahnya Zakaria Hussin berkata pihaknya melalui sektor akademik dan guru-guru Angkatan Kerja Rajin dan Mulia (AKRAM) sedang memperhebatkan lagi usaha itu demi manfaat pelajar di negeri ini.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui sempena Program 'A Moment In English' 2013.

Turut hadir Pegawai Perhubungan Pantai Timur ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc. (EMEPMI), Othman Dzulkifli.

Program yang bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa Ingeris di kalangan pelajar di negeri ini mendapat tajaan penuh ExxonMobil Malaysia sejak tahun 2002.

Zakaria berkata program itu turut melatih para pelajar supaya menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dan menggunakannya dalam pertuturan di sekolah bagi menghilangkan budaya takut berbahasa dalam kalangan pelajar.

"Program yang telah dijayakan setiap tahun ini juga memperlihat penyertaan pelajar sekolah menengah dan rendah dari seluruh daerah termasuk dari kawasan pedalaman dalam aktiviti pementasan selama dua jam tanpa henti yang menggunakan sepenuhnya bahasa Inggeris," katanya.

Sebanyak 33 buah sekolah, iaitu 18 buah sekolah rendah dan 15 sekolah menengah menyertai program itu. -BERNAMA

Artikel Lain