suria

Kerajaan Tak Teragak-Agak Tutup Taska Dera Kanak-Kanak: Rohani

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan teragak-agak menutup taska yang didapati mendera kanak-kanak jagaan mereka, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata keselamatan kanak-kanak di pusat asuhan amat penting bagi mengurangkan kebimbangan ibu bapa, terutama mereka yang bekerja sepenuh masa.

"Bagi memastikan keselamatan kanak-kanak terjamin, ibu bapa disaran menghantar anak mereka ke taska yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya pada sidang media selepas melancarkan Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia 2013 di KL Sentral, Sabtu.

Rohani diminta mengulas tindakan JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menutup taska di Taman Melati berikutan perbuatan kejam pengasuh pusat berkenaan mendera beberapa kanak-kanak di bawah jagaan mereka.

Sehubungan itu, beliau berkata buat masa ini, kementerian menjalankan proses pemutihan yang dikenali sebagai 'pendayaupayaan taska' bagi mengesan dan memastikan taska yang belum mendaftar, didaftar di bawah JKM.

"Kementerian menyasar untuk memastikan sebanyak 900 taska berdaftar dengan JKM di seluruh negara pada setiap tahun, dan sasaran itu adalah sebahagian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kementerian," katanya sambil menambah sepanjang tahun ini, sebanyak 864 taska di seluruh negara berdaftar dengan JKM.

Terdahulu, dalam ucapannya, Rohani berkata tahap kesejahteraan keluarga di negara ini berada pada tahap 7.55 daripada skala 10, dan ini menunjukkan banyak lagi usaha perlu dilakukan bagi memperkukuh institusi keluarga.

"Antara cadangan yang perlu ialah meningkatkan taraf hidup keluarga, meningkatkan resiliensi keluarga, mengimbangi tuntutan kerja dan keluarga serta meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan keluarga," katanya.

Justeru, Rohani berkata kerajaan mengisytiharkan November sebagai Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia, yang disambut setiap tahun sejak 2012.

Beliau juga berkata tema sambutan tahun ini ialah 'Jom Utamakan Keluarga' bagi memastikan perspektif keluarga terus diarusperdanakan oleh masyarakat demi kesejahteraan keluarga. - BERNAMA

Artikel Lain