suria

Guru, Isteri Maut Dalam Nahas Di Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU: Sepasang suami isteri maut setelah terlibat dalam kemalangan di Kilometer 26.5 Jalan Kuala Terengganu-Kota Baharu berhampiran Kampung Sungai Ikan di sini pagi Sabtu.

Jurucakap polis berkata kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu berlaku ketika pasangan itu dalam perjalanan dari Pasir Putih, Kelantan ke Kuala Terengganu sebelum kereta mereka bertembung dengan sebuah Honda CRV yang datang dari arah bertentangan.

Katanya akibat kemalangan itu mangsa Khadi Saari, 53, guru di Sekolah Kebangsaan Tenang Besut tercampak keluar dari kereta Perodua Viva yang dipandunya.

"Isterinya Rohani Yusof, 49, turut tercampak kurang 10 meter ke seberang jalan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian. Menurutnya kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di kepala dan badan manakala kereta mereka remuk teruk.

Pemandu Honda CRV tersebut yang berumur sekitar 50-an pengsan dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahiran (HSNZ) untuk rawatan lanjut.

Menurut rakan mangsa Che Manan Ali, 46, kedua-dua pasangan itu mula menjalankan perniagaan produk kesihatan kira-kira dua tahun lalu.

"Pasangan ini diminta memberi ceramah seminar keushawanan berkaitan produk kesihatan yang dijadualkan berlangsung kira-kira pukul 9.00 pagi tadi," katanya ketika ditemui di bilik mayat HSNZ di sini.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri Supt Alias Hashim mengesahkan kejadian itu. - BERNAMA

Artikel Lain