suria

Esscom Perlu Wujud 434 Perjawatan Baharu Pelbagai Peringkat

KOTA KINABALU: Kawasan Keselamatan Timur Sabah (Esscom) akan mengemukakan permohonan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi mewujudkan 434 jawatan baharu pelbagai peringkat.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Mentek berkata langkah ini berikutan penubuhan pelbagai unit baharu bagi menyokong operasi Esscom.

"Kita akan mewujudkan unit-unit baharu yang akan bertanggungjawab dalam pelbagai bidang seperti teknologi maklumat dan komunikasi serta unit perolehan batalion.

"Kita juga perlu mewujudkan sebuah unit khas yang akan dianggotai mereka yang terlatih untuk melaksanakan tindakan pantas dan menjadi yang pertama atau 'first responder' kepada maklumat berkaitan sesuatu ancaman keselamatan," katanya kepada pemberita selepas menutup Bengkel Perancangan Pembangunan Infra dan Aset serta Kolaborasi di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone), Sabtu.

Enggan menyebut jumlah keanggotaan unit khas itu atas faktor keselamatan, Mohammad berkata ia bakal terdiri daripada gabungan agensi keselamatan dan penguatkuasaan sedia ada.

Selain itu, beliau berkata Esscom bercadang mewujudkan sebuah pusat gabungan perintah serta kawalan bagi mengumpul maklumat risikan daripada setiap agensi keselamatan dan penguatkuasaan.

"Angkatan tentera ada pusat kawalannya sendiri, polis ada pusat kawalannya, dan sebagainya. Apabila kita ada satu kolaborasi yang mantap menerusi pusat gabungan ini nanti, kita dapat bertindak terhadap sesuatu ancaman dengan segera dan secara bersama," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohammad berharap pembinaan dua batalion tentera di Felda Sahabat Lahad Datu dipercepat.

Beliau berkata kedua-dua batalion itu merupakan antara lima yang akan ditubuh seperti diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak susulan insiden pencerobohan pengganas Filipina di Kampung Tanduo pada Februari lepas.

Sejumlah 65 pegawai dari pelbagai jabatan, agensi keselamatan dan pertahanan serta pegawai kerajaan negeri menyertai bengkel tiga hari itu, yang berakhir pada Sabtu. - BERNAMA

Artikel Lain