suria

Umno P.Pinang Cadang Tubuh Badan Bebas Kaji Umno & PAS Bergabung

KEPALA BATAS: Umno Pulau Pinang mencadangkan agar satu badan khas ditubuhkan bagi menjalankan kajian di peringkat akar umbi Umno dan PAS sama ada mereka mahu dua parti itu bergabung demi kepentingan orang Islam di negara ini.

Ketua Penerangan Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Shabudin Yahya berkata sudah sampai masanya, biar rakyat menjadi penentu sama ada kedua-dua parti itu perlu bergabung atau sebaliknya.

Katanya ia juga bagi menggantikan kaedah perbincangan di peringkat pemimpin kedua-dua parti yang telah dilaksanakan sebelum ini dan tidak pernah menemui keputusan bagi mewujudkan kerjasama itu.

"Menerusi kajian oleh badan bebas itu, pemimpin kedua-dua parti boleh menilai sendiri kehendak ahli sama ada kerjasama antara kedua-dua parti itu perlu diwujudkan demi memartabatkan agama Islam dan orang Melayu ataupun tidak.

"Jangan tunggu nasi sudah jadi bubur baru hendak bertindak (jalin kerjasama) kerana PAS dan Umno pernah bekerjasama sebelum ini dan saya percaya lebih 50 peratus daripada ahli kedua-dua parti mahukan kerjasama ini menjadi kenyataan kerana mereka tahu hanya melalui kerjasama ini sahaja Islam dan Melayu dapat diselamatkan," katanya kepada pemberita di sini Jumaat. Shabudin yang juga Anggota Parlimen Tasek Gelugor berkata kajian itu juga penting kerana sebelum ini mungkin suara mereka yang mahukan PAS dan Umno bergabung tidak sampai ke pucuk pimpinan.

"Jika hasil kajian itu nanti menunjukkan majoriti ahli parti mahukan kerjasama ini direalisasikan, maka pemimpin kedua-dua parti harus mengadakan perbincangan meja bulat dan cari kaedah yang sesuai untuk memastikan kerjasama itu terjalin. Kita harus ambil kira suara mereka," katanya.

Shabudin berkata PAS juga perlu menilai cadangan Pengerusi DAP Karpal Singh pada Selasa lepas yang mahu parti politik atau persatuan yang berasaskan kaum dan agama dibatalkan pendaftaran atau diubah suai agar boleh disertai oleh semua rakyat tanpa mengira batasan kaum dan agama.

Katanya kenyataan itu seolah-olah menyindir PAS dan sudah sampai masanya parti itu melihat semula kerjasamanya dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Artikel Lain