suria

Polis Siasat Lima Syarikat Kawalan Keselamatan Langgar Syarat Lesen

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya lima syarikat kawalan keselamatan kini disiasat oleh polis kerana dipercayai melanggar syarat lesen termasuk berkaitan pengurusan senjata api.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata syarikat yang didapati berbuat demikian akan dikenakan tindakan mengikut peraturan sedia ada.

Polis juga meminta syarikat kawalan keselamatan yang ragu-ragu dengan identiti pekerja atau permit senjata api yang dimiliki oleh pekerjanya agar membuat semakan dengan polis, katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Terdahulu beliau menyampaikan sijil kepada 23 graduan Ijazah Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) dan 32 graduan Diploma Sains Siasatan yang menamatkan pengajian di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini.

Ditanya mengenai segelintir anggota dan pegawai polis yang memegang jawatan dalam syarikat kawalan keselamatan di negara ini, Khalid berkata perkara itu tidak menjadi kesalahan jika individu terbabit sudah mendapat kebenaran daripada PDRM.

"Setakat ini tiada pegawai dan anggota PDRM yang tidak mengemukakan surat permohonan, kesemua ada permohonan dan mempunyai kebenaran. Sekiranya didapati mereka memegang sesuatu jawatan tanpa kebenaran, boleh diambil tindakan," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai isu seorang remaja lelaki menghina Islam dengan kata-kata mencerca Allah dalam statusnya menerusi laman Facebook baru-baru ini, beliau berkata polis sedang menjalankan siasatan.

Semalam, remaja berusia 17 tahun itu ditahan di Bandar Hilir Melaka sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini untuk diambil keterangan. Remaja itu disiasat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 susulan satu laporan polis diterima oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Khalid turut menasihati ibu bapa agar memantau kegiatan anak-anak mereka ketika menggunakan laman sosial bagi mengelak mereka mengeluarkan kenyataan yang boleh menyentuh sensitiviti kaum di negara ini. -BERNAMA

Artikel Lain