suria

Pengurusan Pengangkutan Awam Darat Akan Diseragam - SPAD

KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) akan menyeragamkan semua pengurusan pengangkutan awam darat di seluruh negara.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata langkah itu akan dibuat dalam masa terdekat dan hanya membabitkan sistem pengurusan seperti lesen, permit, lesen kenderaan perkhidmatan awam atau PSV serta bidang kuasa penguatkuasaan bagi perkhidmatan teksi, kereta sewa, teksi di lapangan terbang, bas dan bas ekspres. "Penyelarasan yang kita lakukan ini melibatkan bidang kuasa, sistem lesen... jadi semua kita perlu untuk tranformasikan pengangkutan awam dan untuk melaksanakan... kita dengar maklum balas di peringkat bawah," katanya selepas melawat perhentian bas dan teksi Kuala Terengganu pada Jumaat.

Beliau berkata langkah itu bagi memastikan pengusaha tidak terbeban dengan pelbagai karenah birokrasi yang menyukarkan mereka untuk terus beroperasi.

Syed Hamid berkata setakat ini, SPAD masih mengkaji penetapan kadar baharu tambang bas ekspres dan bas sekolah yang bakal diumum tidak lama lagi.

Beliau berkata pihaknya memerlukan sedikit masa lagi kerana tidak mahu keputusan yang dibuat kelak mencetuskan rasa tidak puas hati banyak pihak.

Dalam pada itu, SPAD akan mengambil tindakan tegas terhadap pemandu lori balak yang dikesan melanggar peraturan jalan raya bagi menjaga kepentingan pengguna lain. "Saya nak beritahu kepada (pemandu) lori-lori balak ini... jangan langgar undang-undang, kadang-kadang kayu yang dibawanya terkeluar, ini mendatangkan bahaya untuk pengguna lain," katanya.

Sementara itu, Syed Hamid berkata pihaknya mengesan sebanyak 57 kereta sapu yang beroperasi di Terengganu sejak awal bulan lepas dan 15 pengusahanya ditahan manakala tujuh kes dibawa ke mahkamah.

"Selain itu, empat kes telah dilucutkan hak, satu dalam proses rayuan manakala selebihnya masih dalam proses perbicaraan," katanya sambil menambah SPAD akan mengadakan rondaan bagi membanteras kegiatan itu. -BERNAMA

Artikel Lain