suria

PAS Nafi Dakwaan Wujud Pengundi Hantu Di PRK Sungai Limau

Mahfuz Omar
Mahfuz Omar
Mahfuz Omar

KUALA LUMPUR: PAS menyangkal dakwaan Barisan Nasional (BN) mengenai kewujudan 'pengundi hantu' pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau, Isnin lalu yang dimenangi oleh parti itu.

Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, pengundi hantu yang didakwa adalah anak-anak kepada penduduk tempatan yang dibesarkan dan bersekolah di kawasan tersebut tetapi bekerja di tempat lain.

"Jika Barisan mahu memfailkan petisyen membantah keputusan pilihan raya, mereka berhak berbuat demikian tetapi dakwaan itu tidak benar," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen pada Khamis.

Pada Rabu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata BN akan membuat aduan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung dakwaan kewujudan 'pengundi hantu' pada PRK itu.

Beliau berkata masalah utama adalah disebabkan pengundi itu sendiri tidak mengemaskini alamat di MyKad mereka.

PAS mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dengan majoriti lebih kecil iaitu, 1,084 undi.

Artikel Lain