suria

Warga Emas Maut Ketika Jemput Rakan Pulang Dari Haji

DUNGUN: Seorang warga emas yang dalam perjalanan pulang selepas menjemput rakannya kembali dari mengerjakan haji, maut selepas kenderaannya terlibat dalam kemalangan di Km14.5 Jalan Dungun-Bukit Besi, berhampiran Kampung Delong, Khamis.

Dalam kejadian pukul 4 petang itu, kereta Proton Persona yang dipandu mangsa, Abdullah Muhammad, 64, dalam perjalanan pulang ke Dungun selepas menjemput rakannya, Mat Saman Hassan, di Lapangan Terbang Sultan Ismail (LTSI), Kuala Terengganu.

Ekoran kemalangan itu menyebabkan mangsa yang berasal dari Jalan Santong, Paka meninggal di tempat kejadian selepas cedera parah di bahagian kepala dan patah kaki kanan.

Rakannya Mat Saman, 74, yang bertugas sebagai bilal di Masjid Kampung Tebing Tembah, Paka, patah bahu kanan dan isteri Mat Saman, Halimah Embong, 55, patah tangan kanan manakala jirannya Senik Hussain, 65, patah kaki kanan.

Kesemua mereka yang parah dikejarkan ke Hospital Dungun sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk menerima rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Ahmad Zailani Yaacub berkata ketika kejadian kesemua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Paka selepas mengambil Mat Saman yang baru sampai di LTSI.

Katanya, ketika kejadian sekumpulan pekerja kontrak Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang menjalankan kerja pemasangan kabel di kawasan terbabit dan meletakkan sebuah lori tiga tan bertentangan di atas jalan itu.

"Ketika kejadian hujan lebat dan kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu mangsa melanggar papan tanda amaran sebelum merempuh bahagian depan lori terbabit yang diletak di tengah laluan sama," katanya ketika dihubungi.

Ahmad Zailani berkata sepasukan anggota Bomba dari Balai Bomba Dan Penyelamat Dungun mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk. - BERNAMA

Artikel Lain