suria

Penyamun Jatuh Longkang Selepas Bergelut Dengan Penduduk Kampung

KUALA LIPIS: Seorang penyamun cedera di muka dan kepala akibat tersungkur ke dalam longkang semasa bergelut dengan sekumpulan penduduk kampung dalam kejadian samun di sebuah rumah dekat Padang Tengku, di sini, awal pagi Rabu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, penyamun warga Indonesia itu dikatakan terjatuh ke dalam longkang sebelum diberkas manakala dua lagi rakannya sempat memboloskan diri bersama hasil samun iaitu seutas rantai bernilai RM1,800.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Lipis DSP Zakaria Kassim, sebelum kejadian, ketiga-tiga suspek yang memakai topeng dikatakan memotong besi tingkap dapur rumah mangsa sebelum masuk secara bergilir-gilir.

Menurutnya, ketika berada di dalam rumah itu, mangsa seorang penoreh getah berusia 41 tahun dikatakan tersedar daripada tidur selepas mukanya ditekup oleh tangan seorang daripada suspek.

Katanya, mangsa kemudian menjerit dan melaungkan 'Allahuakbar!' sebanyak tiga kali menyebabkan suspek terkejut lalu berlaku pergelutan dengan mangsa.

"Akibat pergelutan itu, mangsa mengalami kecederaan di dahi akibat dipercayai terkena libasan parang yang dipegang salah seorang daripada suspek.

"Siasatan awal mendapati, ketika suspek hendak melarikan diri, abang ipar mangsa berusia 45 tahun yang tinggal berhampiran terdengar jeritan sebelum bergegas keluar untuk membuat pemeriksaan," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Menurutnya, ketika berdepan dengan ketiga-tiga suspek, abang ipar mangsa cuba diserang oleh seorang daripada suspek yang bersenjatakan sebilah parang namun berjaya mengelak mengakibatkan suspek terbabit tersungkur ke dalam longkang.

Katanya, selepas berjaya mengelak serangan itu, suspek kemudian tidak sedarkan diri akibat terhantuk pada batu longkang sebelum diberkas oleh abang ipar mangsa bersama penduduk kampung kira-kira pukul 4 pagi.

Zakaria berkata, pada masa sama, dua lagi rakannya yang panik melihat suspek pengsan bertindak melarikan diri.

Mangsa segara membuat laporan polis kira-kira pukul 4.30 pagi.

Katanya, suspek yang pengsan itu kemudiannya dihantar ke sebuah hospital di Temerloh untuk rawatan.

Polis akan mengambil keterangan daripada suspek. - BERNAMA

Artikel Lain